Oleh Ummi Nadiah Rosli

Bahagian pertama daripada rencana dua siri.

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Perkataan "warisan" sendiri boleh membawa kepada orang membayangkan rak-rak berdebu atau air yang bertakung, tetapi warisan bukan sekadar pusaka silam.

Sama ada ia tapak arkeologi purba, bangunan nostalgik atau pun bentuk seni tradisi, kekayaan warisan Malaysia merupakan cerita dan memori yang membentuk identiti negara.

Dan mengaitkan perkara silam bukan sekadar bermain dengan perasaan sentimental. Di sebuah negara di mana kuil, gereja dan masjid boleh wujud bersebelahan, kita rugi besar kalau membelakangkan warisan berharga ini.

Bersama khazanah tempatan yang pelbagai, Jabatan Warisan Negara (JWN) sibuk memulihara jejak warisan ini.

Ditubuhkan empat tahun yang lepas, misinya ialah untuk memperkasa dan memperjuang warisan sebagai identiti teras pusaka rakyat Malaysia.

PENJAGA KESINAMBUNGAN WARISAN



Pesuruhjaya Warisan Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid menjelaskan bahawa dalam memastikan kesinambungan warisan Malaysia, JWN memainkan beberapa peranan yang sebahagian besarnya terdiri daripada langkah mendokumentasi, memulihara dan menguatkuasa.

Kerja penguatkuasaan yang dijalankan ialah selaras dengan peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645], iaitu mengeluarkan perisytiharan warisan dan mendaftar bahan warisan pada Daftar Warisan Kebangsaan.

Satu daripada contoh ini ialah garis panduan berhubung industri sarang burung yang hanya boleh diusahakan pada premis yang ditakrif sebagai Bangunan Warisan Kelas 1 untuk dijadikan tempat burung layang-layang bersarang.

JWN juga bertanggungjawab bagi kerja pemuliharaan dan konservasi di mana langkah meningkatkan kemahiran dalam kalangan petugas, ditekankan. Sebagai contoh, petugas perlu belajar menyediakan adunan simen dan kapur yang betul bagi menampal bangunan lama, cara membersih genting atap silam yang diperbuat daripada tanah liat, struktur kayu and panel selain membersihkan kulat dan alga daripada barang purba yang ditemui dalam air.

Satu lagi peranan utama JWN ialah untuk mengendalikan penyelidikan dan pembangunan berhubung warisan di Malaysia. Jabatan ini juga mendokumen dan menerbitkan material rujukan selain menyebarkan pengetahuan melalui pusat-pusat maklumat.

Perancangan dan pelaksanaan aktiviti berkaitan seni dan warisan juga dijalankan untuk mewujudkan satu rangkaian kerjasama bersama dengan agensi-agensi di dalam dan di luar negara mengenai warisan.

JENIS WARISAN



Bandar raya, landskap dan budaya yang menarik di Malaysia, merangkumkan warisan yang berbeza.

Akta Warisan Kebangsaan 2005 meliputi Warisan Budaya yang dibahagikan kepada warisan nyata dan tidak nyata, Warisan Semula jadi dan Warisan Dalam Air.

Warisan Nyata ataupun warisan fizikal ialah tapak yang jelas kelihatan dan dianggap wajar dilindungi seperti kawasan bersejarah, monumen, bangunan dan artifak. Objek yang signifikan kepada arkeologi, senibina, sains atau teknologi sesuatu budaya spesifik juga berada di dalam kategori ini.

Warisan budaya yang merujuk kepada landskap dan biodiversiti (flora dan fauna) juga merupakan bahagian penting budaya. Persekitaran semula jadi juga mempunyai sejarahnya tersendiri.

Dan bentuk warisan paling berpengaruh, menurut Zuraina ialah yang tidak ketara. Yang tidak ketara ialah himpunan cara hidup dan idea orang tertentu, medium budaya yang dianggap sebagai "Khazanah Manusia" oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.

"Warisan tidak ketara termasuk bentuk seni tradisional seperti muzik, lagu, sastera dan juga makanan, bahasa, kepercayaan spiritual, adat resam dan upacara amalan.

"Sebagai contoh, bangunan mungkin tidak dekat dengan hati kita. Ia tidak membawa kesan emosi sehebat elemen tidak ketara. Ia mungkin tidak wujud secara fizikal, tetapi dipupuk di dalam warisan kita, yang membawa kesinambungan serta membentuk nilai-nilai kita."

Beliau menambah kata bahawa komponen tidak ketara juga dapat dilihat di dalam warisan fizikal, di mana komponen seperti simbol, kemahiran kraf and nilai spiritual tersirat di dalam artifak fizikal. Sehinggakan warisan semula jadi, kata Zuraina, boleh ditafsir berasaskan pada latar belakang budaya seseorang.

"Hutan hujan, sebagai contoh, mempunyai pelbagai nilai perubatan. Untuk mengenal pasti identiti tempatan dan melihat di mana terdapat warisan itu, kita perlu memberi perhatian rapi pada elemen tidak ketara. Bagaimanapun, mengekalkan warisan tidak ketara lebih mencabar daripada warisan ketara."

PEMILIHAN WARISAN

Daripada makanan hinggalah bangunan lama, bagaimana JWN menentukan apa yang boleh dianggap sebagai warisan?

Seperti yang tertera pada Seksyen 67 Akta itu, Menteri mungkin, melalui pewartaan, mengisytharkan mana-mana tapak warisan, objek warisan, atau warisan budaya bawah air atau mana-mana orang yang hidup supaya didaftarkan sebagai Warisan Negara.

Zuraina berkata jabatan itu serta agensi lain ditugaskan untuk mengenalpasti unsur-unsur warisan dan menjalankan penyelidikan terhadapnya sebelum Menteri membuat pertimbangan.

"Berhubung warisan negara, kita perlu bertanya kepada diri 'Adakah ia memenuhi kriteria? Adakah ia penting dari segi sifat dan sejarah bagi negara dan adakah ia meninggalkan kesan?".

Ciri-ciri lain yang mungkin Menteri boleh pertimbangkan ialah sumbangan warisan ini kepada pencapaian saintifik atau teknikal, hubungan sosial atau budaya, dan potensinya untuk mendidik, menjelaskan atau membuka laluan lanjut bagi siasatan santifik berhubung warisan budaya Malaysia.

Antara proses yang berlaku dalam mendaftar sesuatu warisan ialah jika ia merupakan suatu tapak, objek atau warisan budaya bawah air yang terdapat di atas tanah negeri, Menteri harus berunding dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat apa-apa perisytiharan.

Jika sesuatu tapak, objek atau warisan budaya bawah air diperuntukkan atau dimiliki oleh mana-mana orang selain daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, pemilik, penjaga atau pemegang amanah tapak, objek atau warisan budaya di bawah air yang tidak boleh dialihkan, harus dimaklumkan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh perisytiharan.

Jika terdapat tuntutan hak milik terhadap mana-mana warisan tidak ketara, kebenaran daripada pemilik hak cipta perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum apa-apa perisytiharan dibuat terutama apabila ia membabitkan orang yang masih hidup.

Selepas itu, satu daripada salinan perintah itu perlu diserahkan kepada pemilik, penjaga atau pemegang amanah tapak itu, objek atau warisan budaya dalam air atau mereka yang dianggap sebagai warisan hidup.

Apa-apa bantahan harus dikemukakan dalam bentuk bertulis kepada Menteri dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh penerbitan dan boleh memohon kepada Menteri berkenaan demi pembatalan perintah itu.

Menteri mungkin, selepas mendengar nasihat Majlis, membatalkan perintah itu atau menolak permohonan berkenaan dan keputusan adalah muktamad.

"Perisytiharan Warisan Kebangsaan merupakan sesuatu yang mengambil masa dengan proses undang-undang mengambil masa dari enam bulan hingga setahun," kata Zuraina.



-- BERNAMA