KUALA LUMPUR 11 Sept. - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menasihatkan orang ramai supaya menghantar kad ucapan Hari Raya Aidilfitri selewat-lewatnya pada 14 September ini.

Ketua Pegawai Operasi PosMel Pos Malaysia, Bahaman Kamarulzzaman berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kad hari raya yang dikirim dapat dihantar tepat pada masanya.

Katanya, semua kad raya akan diklasifikasikan sebagai surat standard ataupun surat bukan standard bergantung pada berat dan juga saiznya.

''Berat maksimum untuk surat standard ialah 50 gram dan berukuran 165 milimeter dengan 250 milimeter.

''Kad yang tidak menepati garis panduan yang ditetapkan akan dikategorikan sebagai surat bukan standard,'' katanya pada sidang akhbar mengenai operasi Pos Malaysia mengagihkan kad ucapan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Selain itu, katanya, orang ramai juga diminta untuk memastikan nama dan alamat penerima ditulis dengan lengkap dan jelas serta sampul surat digam bagi memastikan kad tersebut dapat diproses dengan sempurna.

''Orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan Pos Malaysia berkaitan dengan barangan larangan seperti mercun, senjata api dan barangan berbahaya yang lain.

''Bagi tujuan mengirim kuih raya dan bahan makanan ke destinasi antarabangsa, orang ramai diminta merujuk ke kaunter pejabat pos terdekat terlebih dahulu,'' katanya.

Tambahnya, pada tahun ini Pos Malaysia menjangkakan sebanyak 6.60 juta kad hari raya akan diproses dan setakat hari ini kira-kira 2.24 juta kad telah diproses.

p/s: Alamak...sempat ke sampai kad raya aku nih.Odoi lah...

0 ulasan: