Sabtu, 17 Oktober 2009

Berita KPM sempena Deepavali

Kebenaran Kepada Sekolah-Sekolah Mengambil Cuti Tambahan Pada Hari Selasa, 20 Oktober 2009 Sempena Perayaan Deepavali


Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil maklum bahawa terdapat banyak permohonan daripada pihak sekolah dan juga kalangan ibu bapa supaya sekolah dibenarkan mengambil cuti tambahan sempena Perayaan Deepavali tahun ini yang akan disambut pada hari Sabtu 17 Oktober 2009.

2. Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran Malaysia bersetuju untuk memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah mengambil Cuti Peristiwa bagi sekolah-sekolah yang masih berbaki Cuti Peristiwa atau Cuti Berganti bagi sekolah-sekolah yang telah habis Cuti Peristiwanya pada hari Selasa, 20 Oktober 2009, sebagai tambahan kepada cuti yang telah dibenarkan terdahulu. Keputusan ini diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya. Surat Siaran KP(BS/Dsr)201/002/8( ), bertarikh 28 Oktober 2008, hendaklah dibaca bersama surat siaran ini.

3. Sekolah-sekolah yang mengambil Cuti Berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan tersebut pada hari Sabtu, 31 Oktober 2009.

4. Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya meluluskan cuti tambahan tersebut mengikut kes-kes yang memohon sahaja dan kelulusan ini tidak diberi secara keseluruhan. Semua Pejabat Pelajaran Daerah hendaklah memantau pelaksanaan cuti tambahan berganti ini.

Sekian untuk makluman dan tindakan T.Bhg. Dato'/Tuan, terima kasih.

'BERKHIDMAT UNTUK NEGARA'




TAN SRI DATO' HAJI ALIMUDDIN BIN HAJI MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

0 ulasan: