Khamis, 29 Oktober 2009

Harga rendah rokok RM6.20 tahun depan


KUALA LUMPUR 28 Okt.- Kerajaan akan menguatkuasakan peraturan harga minimum sekotak rokok RM6.20 mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penetapan harga minimum bagi sekotak rokok mengandungi 20 batang itu bertujuan menghalang pembelian rokok terutama di kalangan remaja.

Beliau berkata, ia juga untuk mengawal lambakan rokok murah yang mungkin masuk ke negara ini selepas Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilaksanakan.

"Cadangan itu telah dipersetujui Peguam Negara dan ia telah diwartakan untuk dilaksanakan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Katanya, langkah tersebut amat penting kerana jumlah perokok di negara ini berjumlah kira-kira tiga juta orang atau mewakili 11 peratus penduduk Malaysia.

"Dengan penguatkuasaan ini, kita harap ia akan dapat mengurangkan jumlah perokok selain mampu mengawal kemasukan rokok seludup yang mempunyai kadar toksik lebih tinggi," katanya.

Katanya, usaha tersebut juga dapat memastikan orang ramai lebih sukar mendapatkan bekalan rokok berbanding sekarang.

"Dengan jumlah perokok yang ada sekarang adalah sukar bagi kita untuk menghapuskan terus penjualan rokok," katanya.


Megat: huyoooo.....kuar asap

0 ulasan: