Ahad, 29 November 2009

Tidak beku guru...guru yang beku..??

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran tidak mempunyai ‘peti sejuk’ untuk guru yang tidak mampu lagi memberi komitmen sepenuhnya terhadap profesion perguruan, sebaliknya akan menggunakan beberapa pendekatan baru bagi memastikan mereka kembali menjadi warga pendidik sebenar.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan membekukan guru terbabit bukan langkah berkesan kerana masih ada cara lebih sesuai untuk mereka menghayati tanggungjawab sebenarnya.

Katanya, beliau percaya perubahan sikap guru terbabit berlaku akibat beberapa faktor, antaranya masalah keluarga atau persekitaran tempat mengajar yang tidak memenuhi kehendak mereka.

“Apabila gagal menangani masalah itu, semangat guru terbabit untuk mengajar semakin pudar sehingga mendorong mereka melakukan kerja sampingan yang akhirnya membuatkan perhatian terhadap tugas hakiki mengajar murid diabaikan.


“Kita harus memberi latihan baru atau tambahan serta memberi semangat baru supaya mereka lebih gigih melaksanakan tanggungjawab mendidik anak bangsa.

“Kita juga harus mengkaji keadaan persekitaran tempat mereka mengajar yang mungkin mempengaruhi kemerosotan prestasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Korban Perdana Umno Bahagian Batu Pahat di Kampung Linau Kecil, Bukit Pasir, di sini, semalam.

Sebanyak 15 lembu dikorbankan pada majlis itu dan dagingnya diserahkan kepada semua Umno Cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Mohd Puad berkata, beliau menerima banyak cadangan selepas kenyataannya mengenai ‘guru semberono’ itu disiarkan akhbar baru-baru ini.

Antaranya, ada yang mencadangkan supaya guru bermasalah ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah atau negeri supaya lebih mudah pegawai kanan pejabat pelajaran memantau, mengawasi serta membimbing guru berprestasi rendah itu.

Katanya, Kementerian Pelajaran mengambil perhatian terhadap setiap cadangan yang dikemukakan dan akan mengkaji sama ada ia sesuai dilaksanakan atau tidak.

“Itu satu cadangan baik (menempatkan guru bermasalah di pejabat), tetapi kita harus membuat kajian dengan teliti terlebih dulu kerana tidak mahu nanti apabila guru itu diarah melakukan tugas pejabat, orang akan menganggap kita menyejuk bekukan guru terbabit.

“Tindakan itu mungkin hanya boleh diambil sebagai tindakan terakhir, kerana pertukaran daripada tugas mengajar kepada tugas pejabat itu sebenarnya membabitkan banyak urusan, antaranya mengisi perjawatan serta masalah untuk mendapatkan guru gantian bagi mengisi kekosongan yang mereka tinggalkan,” katanya.

Megat: jangan salahkan guru sepenuhnya, lihatlah kami dan rasai ditempat kami dahulu.

0 ulasan: